Liverpool berjaya mendapatkan khidmat pemain tengah skuad kebangsaan Jepun yang juga ketua pasukan VfB Stuttgart, Wataru Endo pada jendela perpindahan musim panas kali ini.

Perkara ini dikongsikan oleh Fabrizio Romano menerusi laman sosial media wartawan itu dimana Endo akan menyertai Liverpool dengan yuran sebesar €18 Juta atau sekitar RM90 Juta.

Liverpool dilaporkan membuat tawaran mengejut kepada Endo selepas usaha mereka untuk mendapatkan Moises Caicedo dari Brighton & Hove Albion dan Romeo Lavia dari Southampton menemui kegagalan.

Caicedo dan Lavia lebih berminat untuk menyertai Chelsea dan perkara ini memaksa skuad kendalian Jurgen Klopp itu untuk segera mencari pengganti.

Selepas mendapat tawaran dari Liverpool, Wataru Endo tidak berfikir panjang dan beliau meminta agar Stuttgart melepaskan beliau kerana ini merupakan peluang sekali seumur hidup untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Stuttgart menghormati permintaan ketua pasukan mereka dan Endo dijadualkan menjalani ujian perubatan dalam masa terdekat dan sekiranya semua berjalan lancar, maka beliau akan diperkenalkan sebagai pemain baharu Liverpool.

Sebelum ini, Jamie Carragher tanpa berselindung mengkritik Liverpool yang kelihatan agak sendu pada jendela perpindahan musim panas ketika ini.

Selepas berjaya mendapatkan khidmat Dominik Szoboszlai dan Alexis Mac Allister, Liverpool kemudiannya seperti tidak bernafsu untuk menambah kekuatan pasukan khususnya di bahagian tengah.

“Ia benar-benar huru-hara, kelakar dan ia memalukan. Di tempat yang agak sukar, orang tahu mereka terdesak,” ujar Carragher.

Endo mengikut jejak langkah rakan sepasukannya di skuad kebangsaan, Takumi Minamino yang beraksi bersama Liverpool. Akan tetapi, pemain itu sudah berhijrah ke AS Monaco selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama.